EAT YOUR FROG FIRST ; ADA APA DENGAN MEMBACA
Sebagai seorang guru, membaca bahan bacaan untuk menambah nilai pengetahuan dalam bidang adalah satu keperluan. Guru sering menasihati pelajar untuk rajin membaca, dari peringkat tadika sehinggalah pensyarah di alam universiti. Dan apabila saya menjadi seorang guru pun, saya sendiri dikehendaki membaca untuk menambahkan nilai pengetahuan diri untuk mengajar anak-anak pelajar saya. Tapi ada apa dengan membaca sebenarnya?
Seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dan bermaklumat adalah berbeza. Maklumat adalah sekadar penyataan, tetapi ilmu adalah menyelesaikan masalah. Individu yang mendengar berita atau membaca bahan dari sumber seperti akhbar, majalah, media sosial lebih cenderung menjadi seorang yang bermaklumat. Kelompok ini adalah kelompok yang mempunyai info berkenaan sesuatu topik. Maklumat yang diperoleh adalah satu bentuk penyataan asas dalam sesuatu topik yang dibaca.
Manakala berbeza dengan orang yang mempunyai ilmu pengetahuan. Pengetahuan menurut Scoot (1999) dan ramai pengkaji yang menggunakan definisi ini dalam kajian mereka menerangkan, pengetahuan adalah asas kepada sesuatu topik atau bidang yang dikaji. Melalui kepintaran dan kebijaksaan individu, sesuatu maklumat itu dapat dibangunkan dan diselesaikan.
Justeru ada apa dengan membaca? Sekadar mendapat maklumat atau menyelesaikan masalah?
Analoginya saya berikan di sini.
Pn Jamilah ke saloon di sekitar kediamannya untuk mendandan rambut. Sambil didandan, beliau membaca sebuah majalah SANA SINI. Pn.Jamilah membelek helaian demi helaian sehinggalah beliau tertarik dengan artikel yang bertajuk "Eat your frog first". Beliau ketawa kecil apabila membaca tajuk dan hanya membaca artikel itu dengan bersahaja.
Balik dari saloon, beliau menceritakan kepada suaminya bahawa dia membaca artikel tersebut. Beliau bercerita sambil ketawa kerana merasakan artikel itu lucu.
" Ada ke patut bang dia suruh kita makan katak dulu". cerita Pn. Jamilah sambil ketawa.
" Lepas tu artikel tu tulis lagi, lepas dah boleh makan katak, nak makan apa-apa je lepas tu jadi semua mudah". Beliau membuat memek kegelian dek terbayang katak di atas pinggan.
" Inilah penulis zaman sekarang, nak buat tajuk nampak gah supaya pembaca tertarik, dan memang saya tertarik pun bang". Pn Jamilah ketawa terbahak-bahak sambil menepuk-nepuk bahu suaminya.
En Rahimi yang dari tadi fokus dengan telefon hanya menggeleng-geleng melihat reaksi isterinya. Mengenali isterinya yang tidaklah berapa pandai, maka En Rahimi pun membalas,
" Awak ni Jemy, saya kata tak pandai awak marah nanti, tapi awak jangan lah bercerita ni dekat orang, buat malu saya nanti" En Rahimi membetulkan kedudukan dan memandang ke isterinya.
" Eh abang, saya tahu lah apa saya baca...dah memang artikel tu tulis 'eat your frog first' maunya logik nak makan katak, agak-agaklah kan, carilah binatang lain". Pn Jamilah masih pertahankan apa yang dibacanya.
Melihat reaksi isterinya yang tak keruan ibarat digeletek tanpa henti, En Rahimi terus menyampuk,
" Awak tahu tak " eat your frog first tu " sebenarnya perumpamaan orang putih? haaa awak tak tahu kan. Yang awak fikir makan katak dulu". Biarpun En Rahimi membalas dengan bersahaja, itu maksudnya dia telah lepaskan das peluru pertama.
" Eat your first frog" tu kiasan je Jemy oii. Saya bagi contoh awak je lah senang, supaya mudah faham nanti saya bagi contoh orang lain, tak pasal saya termasuk 'geng ketupat' awak pulak " peluru kedua dilepaskan.
Pn Jamilah terus terdiam dan terus memuncungkan mulutnya, seolah boleh mengail seekor ikan paus.
" Eat you frog first, maksud melayunya makan katak awak dulu. Awak suka katak Jemy? Mesti tak kan. Tapi disuruhnya makan katak itu adalah perumpaan untuk makan dulu benda yang awak tak suka. Contoh macam awak, awak tak suka nak lipat baju, selagi tak dua tiga bakul, selagi tu awak biar je baju tu... tapi sekali awak dah lipat baju, habis satu rumah awak nak kemas. Sampai saya pulak sakit kepala" akhirnya das demi das peluru En Rahimi lepaskan.
" Eh abang ni, apa pulak kaitan baju saya dengan katak tu" Masih lagi nak menang
En Rahimi menggeleng-geleng. Mengenangkan isterinya agak lambat untuk faham dia hanya ketawa kecil sahaja.
" Itulah maksudnya, perumpaan. Umpama sahaja. Katak tu diumpama benda yang kita tak suka. Tapi disuruh untuk kita buat perkara itu terlebih dahulu. Dan kalau dah selesai benda yang kita tak suka, nak teruskan yang lain senang je."
Pn Jamilah akhirnya perlahan-lahan memandang suaminya sambil tersenyum dan berkata..
" Abang ni, kalau tak perli saya tak sahkan"
" Biasalah, orang perempuan ni kena diperli dulu, baru sedar..."
" Haa jangan lupa, ada dua bakul lagi baju kita awak tak berlipat, minggu ni giliran awak kan lipat, jangan pura-pura lupa". En Rahimi ketawa lalu beredar meninggalkan Pn Jamilah.
Sahabat, ramai antara kita banyak kerja tergantung di tengah jalan gara-gara dek tidak suka, bertangguh, terlalu memilih, yang dipengaruhi oleh perasaan malas, ragu-ragu, malu, takut dan sebagainya. Kerana sikap negatif itu, kita disarankan untuk memecahkan tembok kebiasaan kita.
Ibaratnya begini, masyarakat kita ni nak kurus dari tahun 2010 lagi, tapi tahun 2020 tak kurus-kurus juga. Sebab tabiat masih sama. Tak nak ubah tabiat. Nanti-nantilah, tahun depan lah. Sikap bertangguh. sikap malas. Jadi dengan wujudnya perumpaan itu untuk memberikan kefahaman bahawa disuruh kita buat benda yang kita paling tak suka terlebih dahulu. Kalau nak kurus, benda pertama kena praktis adalah senaman. Dan akhirnya bila dah mula senaman, baru rasa insaf untuk makan berlebihan sebab sedar betapa sukarnya untuk bakar kalori.
Itu contoh sahaja ya, tiada kaitan dengan penulis. hehehe
Begitulah kisah Pn Jamilah dan En Rahimi. Pn Jamilah inilah ciri-ciri orang yang bermaklumat, suka membaca, suka tahu info. Tapi sekadar tahu sahajalah. Berbeza dengan En Rahimi, orangnya berpengetahuan, akhirnya dapat selesaikan masalah isterinya. Sepatutnya tindakan Pn Jamilah setelah membaca artikel itu, dia boleh menambah pengetahuannya dengan bacaan ilmiah lain. Tapi Pn Jamilah tidak memilih cara berkenaan bahkan terus bercerita dengan bangga kepada suaminya. Bayangkan kalau Pn Jamilah dan En Rahimi serupa... apa jadi pada anak mereka nanti ya?
Jadi apa "frog" pembaca? Boleh lah kita senaraikan frog kita dan atasinya. Semoga kita berjaya!
Comments